Thursday, August 11, 2011

Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Pembelajaran dalam Kalangan Remaja.


Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Pembelajaran dalam Kalangan Remaja.

Terdapat tiga faktor yang mempengaruhi pembelajaran dalam kalangan remaja iaitu pengaruh    dari aspek remaja itu sendiri, pengaruh dari aspek keluarga dan pengaruh dari aspek sekolah. Bagi faktor pertama iaitu pengaruh dari aspek remaja itu sendiri adalah merujuk kepada efikasi kendiri mereka iaitu tahap kepercayaan mereka terhadap kemampuan diri sendiri (Papalia,Olds dan Feldman, 2007) dan peranan efikasi kendiri ini lebih berpengaruh kepada diri remaja. Selain itu, berlaku penghasilan hormon melatonin(mengantuk) yang lewat memberi kesan kepada pelajar untuk tidur lewat dan bangun lewat. Hal ini memberi masalah kepada remaja untuk ke sekolah dan menumpukan perhatian kerana kekurangan tidur. Dari sudut kognitif, remaja yang mempunyai tahap IQ yang lebih rendah berbanding markah purata IQ rakan seusia akan mempamerkan mutu pencapaian akademik yang rendah.

                  Tambahan pula, tingkah laku negatif pelajar seperti ponteng sekolah, mempunyai konflik dengan guru atau rakan dan secara tidak langsung pelajar tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran. Pelajar yang terlibat dengan kes salah laku didapati mempunyai masalah untuk memproses maklumat terutamanya dalam bacaan asas, penulisan dan pengiraan. Kekurangan dari segi keupayaan kognitif menyebabkan pencapaian akademik rendah dan guru terpaksa mengorbankan pengurusan kelas dan sekolah dan memberi penumpuan lebih kepada pelajar tersebut.

Faktor kedua ialah pengaruh dari aspek keluarga. Berdasarkan kajian yang disoroti, Flannery dan Wester (2004) menyimpulkan bahawa terdapat tiga perkara berkaitan keluarga yang secara signifikan berkorelasi dengan pencapaian akademik remaja, iaitu status sosioekonomi keluarga, penglibatan ibu bapa di rumah atau di sekolah dan gaya pengasuhan.Kajian menunjukkan bahawa lebih ramai remaja yang datang daripada keluarga yang rendah status sosioekonomi gagal menamatkan pengajian pada tahap prauniversiti disebabkan status ekonomi yang rendah memberi tekanan dari segi kewangan kepada keluarga pelajar.Hal ini mendorong pelajar ponteng atau berhenti sekolah untuk membantu menyara keluarga.

Seterusnya ibu bapa yang aktif dengan pembelajaran anak di rumah biasanya memberi inspirasi, berbual dengan anak-anak tentang pendidikan, berbincang dengan guru, memantau kerja sekolah anak-anak di rumah dan mengambil bahagian dalam aktiviti sekolah. Cara mendidik iaitu mengasuh turut memberi kesan kepada emosi anak-anak dan mempengaruhi pencapaian akademik mereka. Pengamalan gaya pengasuhan secara autoritarian (terlalu tegas) dan permisif (terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak) akan meninggalkan kesan negatif kepada pembelajaran anak-anak. Ibu bapa autoritatif akan memberi kebebasan kepada anak-anak dengan batasan tertentu yang telah dipersetujui bersama. Ibu bapa harus memuji dan memberikan ganjaran kepada anak-anak mereka yang berjaya manakala jika gagal,mereka akan memberikan bantuan dan galakan untuk mencuba lagi.

Faktor ketiga adalah dari aspek sekolah. Sekolah yang bagus dapat mendorong pelajar untuk maju dalam pelajaran dan selain itu mempunyai ciri-ciri seperti mengekalkan suasana yang teratur, tidak terlalu menekankan pelajar, mempunyai pengetua aktif, dan mempunyai guru yang berkuasa dalam membuat keputusan penting di sekolah. Ciri-ciri guru-guru  disekolah juga memainkan peranan. Pembelajaran remaja boleh meningkat jika mempunyai guru-guru yang meletakkan matlamat tinggi tetapi masih boleh dicapai pelajar, memantau prestasi pelajar dan menekankan aktiviti akademik berbanding aktiviti kokurikulum.

No comments:

Post a Comment