Thursday, August 11, 2011

SISTEM POLITIK KESULTANAN MELAYU MELAKA


SISTEM POLITIK KESULTANAN MELAYU MELAKA


RINGKASAN

              Sistem politik Kesultanan Melayu Melaka diterajui oleh raja dan dibantu oleh golongan pembesar serta serba sedikit dari golongan bangsawan. Menteri yang penting sekali kedudukannya di Melaka ialah Bendahara (gelaran seperti Paduka Raja dan Seri Maharaja).Beliaulah yang berurusan dengan saudagar-saudagar asing serta menjadi penimbang tara dalam  pertikaian antara orang Melayu dengan orang asing dan antara sesama orang Melayu sendiri. Apabila ketiadaan sultan, Bendahara akan mendapat hak untuk memangku tugas sultan dengan di bantu oleh Penghulu Bendahari dan Seri Bija Diraja.

      Bendahara yang asal, walaupun berketurunan bangsawan bukanlah keturunan raja. Namun begitu, mengikut keluarga Bendahara telah bersemenda dengan keluarga raja Melaka dan dengan itu memperoleh kuasa yang lebih besar, lazimnya menentukan hak menaiki takhta kerajaan. Antara tugas lain seorang Bendahara ialah menjadi ketua turus tentera, ketua hakim dan ketua di balainya sendiri. Pembesar yang kedua di Melaka ialah Penghulu Bendahari, iaitu ketua seluruh Syahbandar dan berkuasa memungut segala hasil negeri. Tugasnya yang utama ialah memegang harta benda dan hasil mahsul kerajaan. Beliau juga menjadi wakil menerima ufti dari kawasan jajahan takluk Melaka dan boleh dititahkan untuk mengetuai angkatan perang Melaka menyerang negeri asing seperti Kampar.

      Pembesar ketiga dalam hierarki ialah Temenggung yang kemudiannya telah melangkau kedudukan Penghulu Bendahari dan dianggap sebagai pengganti Bendahara. Antara tugas-tugas awam Temenggung ialah menguruskan makanan di balai istana, menghakimkan perbicaraan yang besar sebagai Timbalan Ketua Hakim, menangkap orang yang melakukan kesalahan, membaiki keadaan pasar dan pekan, dan ketua perancang bandar dan jalan raya. Manakala tugas utama Temenggung ialah menjaga keselamatan negeri Melaka dan dalam hubungan itu beliaulah yang berkuasa atas polis serta bertindak sebagai Ketua Majistret ( menurut istalah moden). Temenggung Melaka biasanya dilantik daripada kalangan keluarga pembesar-pembesar Melaka itu sendiri.

       Selepas Temenggung ialah Laksamana. Dikatakan Laksamana merupakan pembesar tentera yang setaraf dengan Bendahara. Beliau mengetuai pentadbiran tentera di samping menjadi Panglima Pengawal Raja. Jawatan Laksamana dianggap sama dengan Panglima Angkatan Laut disebabkan cabang tentera yang efektif pada zaman itu ialah angkatan laut. Orang pertama yang memegang jawatan Laksamana yang dicipta pada masa Sultan Mansur Syah ialah Hang Tuah.


RUJUKAN

Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia. Petaling Jaya. Macmillan , Publishers (M) Sdn Bhd. 1983.
Ibid.
Muhammad Yusoff Hashim, Kesultanan Melayu Melaka, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, 1989.

No comments:

Post a Comment