Thursday, August 11, 2011

PERBALAHAN SIAK DENGAN RIAU


PERBALAHAN SIAK DENGAN RIAU
Perbalahan antara Siak dan Riau bermula setelah sekian lama apabila wilayah Johor sendiri berpecah akibat dari masalah politik Johor itu sendiri. Pengaruh Bugis, Raja Kecil dan Bendahara Johor dilihat jelas sekali antara 3 watak utama punca wujud masalah politik yang kritikal dalam Kerajaan Johor. Apabila mangkat sahaja Yamtuan Raja Sulaiman, maka disini kemangkatan baginda memberi ruang buat Yamtuan Muda Raja Bugis iaitu Daheng Kemboja anak Daheng Parani untuk menguasai Riau. Hal ini benar sepertimana kata Sultan Muhammad Jiwa, Raja Kedah “ Riau, Johor, Selangor, dan Kelang dulunya diperintah oleh Sultan-Sultan Melayu dan didiami oleh orang-orang Melayu…orang-orang Bugis datang menetap di Riau dan dari sana ke Selangor dan dari Selangor ke Klang. Apakah helahnya orang-orang Bugis mendapat kuasa dirantau ini beta tidak maklum”.[1]
Daheng Kemboja telah berniat untuk merampas Riau dan menghapuskan keturunan raja Melayu di Riau dengan meracun Yang Dipertuan Kecik iaitu Raja Ahmad Syah yang baru berusia lapan tahun. Pada ketika ini Bugis ( Daheng Kemboja) berkuasa penuh keatas Riau. Maka Temenggung mengutus surat ke Terengganu, Pahang (Bendahara) dan kepada Yang Dipertuan Siak menyatakan nenda dan bonda sudah hendak dibunuh oleh Bugis. Maka Yang Dipertuan Siak membalas surat ke Riau (Temenggung) menyatakan sekiranya Terengganu dan Pahang sudah sepakat, maka Temenggung harus turut serta bersama mereka bersama menyerang Riau.
 Kemudian Temenggung mengutus surat kepada Yamtuan Terengganu dan Pahang menyatakan hasrat Yang Dipertuan Siak. Raja Terengganu dan Pahang mengutus pula surat ke Siak (Yang Dipertuan) minta menolong Terengganu dan Pahang menyerang Riau selepas angin besar. Sejurus mendapat surat itu, Yang Dipertuan Siak tidak jadi berangkat ke Pantai Emas dan muafakat dengan adinda baginda di Riau. Maka baginda terus  ke Selat Singapura dan membalas surat ke Terengganu dan Pahang menyatakan baginda menanti di Singapura. Dalam masa yang sama, baginda mengutus surat ke Siak kepada Yamtuan Muhammad Ali agar memohon bantuan dari Kelantan.
Perbalahan Siak dan Riau  kekal berterusan walaupun pada ketika itu Yamtuan Muda Raja Alam sudah sudah mangkat. Sementara itu didalam sepucuk surat yang diutus ke Siak kepada Yamtuan Muda Muhammad Ali menyebut biarlah kakanda menjadi raja dan adinda menjadi raja di lahut dan jika ada yang kurang, adinda boleh tolong. Pada ketika itu, Yamtuan Muda Raja Alam baru sahaja mangkat. Maka Yamtuan Muda Raja Ali membalas surat tersebut memohon kakandanya menolong dengan 20 perahu untuk menyerang Riau. Sultan Ahmad Ayah berharap Yamtuan Muda Muhammad Ali mendengar kata-katanya itu.
Hasrat Yang Dipertuan Siak untuk menyerang Riau, diketahui oleh Daheng Kemboja. Maka disuruhnya orang Bugis bersiap perahu dan segala raja Melayu (perempuan) dibawa ke Pulau Bayan. Jika orang Siak menyerang Riau, orang Bugis di Riau akan membunuh dan membakar raja Melayu (perempuan) tersebut. Maka raja Melayu (perempuan) mengirim surat kepada baginda Yang Dipertuan Siak yang berada di Selat Singapura memohon agar jangan menyerang Riau kerana bonda iaitu raja Melayu (perempuan) di Riau akan mati dibunuh nanti.
Sementara itu penggawa datang dari Selangor dengan 5 buah pendewakan dengan tujuan hendak ke Riau tetapi singgah seketika di Selat. Penggawa tersebut kemudian dihalang oleh Yang Dipertuan Siak ke Riau. Baginda meminta penggawa tersebut ke Riau dengan sampan kecil dan meninggalkan perahunya serta berjanji dengan baginda kembali menemui baginda selepas tujuh hari. Selepas dilepaskan baginda, maka penggawa tersebut sampai ke Riau dan menghadap dengan Daheng Kemboja serta mengadukan hal tersebut. Daheng Kemboja berasa marah dan mengumpulkan segala orang Bugis di Riau untuk membaiki perahu serta bersiap untuk berperang.
Setelah bersedia dengan kelengkapan 30 buah penjajap (kapal perang Bugis) dan pendewa, maka Daheng Kemboja menyuruh anak-anaknya pergi berperang. Apabila tiba di Selat, maka perahu Riau berlabuh di Kuala Sungai Singapura. Orang Siak melihat perahu Riau hendak menyerang perahu Siak. Tengku Abdullah menyuruh semua panglimanya bersedia kerana orang Bugis Penggawa hendak masuk ke Selat. Orang Siak memberi amaran kepada perahu orang Bugis agar tidak memasuki Selat tersebut atau berdepan risiko dibedil meriam. Namun amaran itu tidak diendahkan orang Bugis. Pada ketika itu, Tengku Abdullah dan Tengku Abdul Rahman menjadi ketua angkatan perang Siak.
Perahu orang Siak keluar dari Sungai Singapura menghampiri perahu orang Bugis dan dibedil oleh orang Bugis. Namun orang Siak tidak mempedulikan bedilan tersebut dan terus menghampiri perahu Bugis dan membalas bedilan meriam. Orang Riau terpaksa berundur ke Tanah Merah kerana tidak mampu bertahan dengan bedilan meriam Siak yang bertubi-tubi. Maka orang Siak berjaya mendapat 15 buah perahu Riau sambil mengejar orang Riau. Orang Riau membuat helah dengan mengambil seorang budak kecil, memakaikan dengan pakaian dan diletakkan atas apilan dan diberi payung hubur-hubur. Perkara tersebut dilihat oleh baginda dan baginda menyangka budak tersebut adalah paduka adinda di Riau yang hendak dirajakan. Baginda sangat murka dan memerintahkan perahu Siak berhenti mengejar perahu Bugis dan orang Riau berjaya kembali ke Riau.
Maka anak-anak Daheng Kemboja segera menghadap Daheng Kemboja dengan berita memalukan apabila angkatan laut Riau tewas dan dikejar tentera Siak. Daheng Kemboja yang juga pemerintah Riau pada masa tersebut berasa sangat marah dan menitahkan untuk membaiki 50 buah penjajap. Sementara itu, Yang Dipertuan Siak berbincang dengan adindanya Tengku Abdullah samada untuk berundur atau meneruskan peperangan kerana khuatir dengan situasi kekurangan bekalan ubat bedil dan pada masa yang sama menunggu bantuan dari Terengganu dan Pahang. Yang Dipertuan Siak lebih suka meneruskan peperangan kerana mendapati kemenangan sudah hampir dicapai dan mendapat sokongan penuh dari adindanya Tengku Abdullah yang setia pada baginda. Walaupun begitu, baginda risau serta menyesal atas arahan baginda menyuruh adinda baginda meneruskan peperengan tersebut. Lalu baginda meminta bantuan 20 perahu penjajap dari Siak untuk memperkuatkan tentera laut Siak.
Daheng Kemboja bersama dengan 50 buah penjajap bersiap dan terus menuju ke Selat untuk membalas serangan Siak semula. Apabila penjajap Siak sebanyak 25 buah keluar sahaja dari sungai Selat, dalam masa yang sama bertembung dengan 50 buah penjajap Riau maka meletuslah peperangan yang besar di laut. Lama-kelamaan ramai panglima Siak mula berundur kerana kekurangan ubat bedil dan yang tinggal hanya Tengku Abdullah bersama beberapa orang panglimanya serta anak buahnya. Beliau dikepung oleh perahu Riau sebanyak 15 buah. Perahu Riau tanpa menghiraukan Tengku Abdullah terus membedil perahu Tengku Abdullah. Ramai yang mati selepas bedilan  dan yang tinggal hanya 7 orang.
Melihat kepada situasi genting itu, Yang Dipertuan Siak menyuruh Raja Naga untuk menyelamatkan adinda baginda dari kepungan perahu Riau. Apabila tiba di perahu Tengku Abdullah iaitu seramai 4 orang panglima, Raja Naga, Raja Kalang, Raja Kikik dan Batin Pak Mugal menyampaikan titah dari Yang Dipertuan Siak suruh berundur kerana kehabisan ubat bedil. Tengku Abdullah berkeras enggan berundur kerana malu jika berundur kerana perahunya belum tenggelam. Tengku Abdullah terus mencabar orang Riau untuk mendekati perahunya tetapi orang Riau enggan. Perahu beliau mula dimasuki air dan tenggelam demi sedikit. Raja Negara terus memeluk Tengku Abdullah bersama 4 orang sekali dan membawanya menaiki kakap Bunga Rampai dan didayungkannya sehingga sampai ke perahu Yang Dipertuan Siak.
Tengku Abdullah naik dan menyembah baginda. Sementara itu, Panglima Tala terus mempertahankan perahu Tengku Abdullah dengan membunuh orang Riau yang menaiki perahu Tengku Abdullah. Seterusnya perahu Tengku Abdullah dibedil sekali lagi oleh orang Riau maka matilah Panglima Tala dan yang tinggal hanya Panglima Kadim yang patah peha. Panglima Kadim terus membedil orang Riau dengan pemuras dan ramai yang mati. Bedilan terakhir orang Riau akhirnya menenggelamkan perahu Tengku Abdullah dan Panglima Kadim.


Bibliografi
Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya, Macmillan Publisher(M), Kuala Lumpur,1983,hlm.112.




No comments:

Post a Comment