Thursday, June 13, 2013

Solat Jamak dan Qasar



1.0 PENDAHALUAN
1.1 Pengenalan

Solat adalah  ibadah yang dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan salam. Solat adalah rukun Islam yang kedua. Solat yang difardhukan ke atas umat Islam adalah lima waktu sehari semalam. Solat merupakan tiang agama. Jika seseorang itu meninggalkan solat maka dia telah meruntuhkan agamanya. Memandangkan solat adalah tiang agama, maka Allah menekankan dan memberi amaran keras kepada hambaNya yang meninggalkan solat. Oleh itu, perlu direnungkan bahawa solat adalah sebagai asas utama dalam beribadah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Solat itu adalah tiang agama bagi sesiapa yang melaksanakan solat, maka ia menegakkan agama dan bagi mereka yang meninggalkan solat, maka sama halnya merobohkan agama”.
                                                                                                  (Riwayat Bukhari dan Muslim)

  Allah telah memberi kelonggaran kepada hambaNya untuk menunaikan solat walau dalam keadaan bagaimana sekalipun. Tetapi, ramai di kalangan masyarakat kini yang masih belum mengetahui tentang fiqh safar, di antaranya ialah mengenai cara sembahyang semasa melakukan perjalanan yang jauh. Ini kerana menunaikan ibadah solat merupakan satu kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh setiap manusia yang beragama Islam. Tidak kira dalam apa jua keadaan, kewajipan tersebut tidak akan terlepas dari bahu setiap Muslim. Ia merupakan satu tanda kesyukuran seorang hamba terhadap penciptaNya.

Sesungguhnya Allah amat sayang kepada setiap hambaNya. Dianugerahkan keringanan mengerjakan solat terhadap orang yang bermusafir. Serta dibenarkan untuk memendekkan solat yang panjang bagi memudahkan urusan musafir terlaksana. Rukhsah solat ialah kemudahan dan keringanan yang diberi oleh Allah dalam melakukan solat fardhu dalam keadaan-keadaan tertentu seperti ketika bermusafir, sakit dan di medan peperangan.



1.2 Maksud  Musafir (as-Safar)

As-Safar bererti penempuhan jarak. As-Safar bererti keluar dari kampung halaman menuju satu tempat yang berjarak jauh sehingga kerananya pelakunya diperbolehkan untuk mengqasarkan (memendekkan) solatnya.   Beberapa syarat telah ditetapkan oleh ulama dalam membolehkan seseorang itu untuk menunaikan solat musafir antaranya ialah jarak perjalanan yang ditempuhi oleh seseorang. Perjalanan itu hendaklah untuk tujuan yang dibenarkan oleh syarak dan bukan berniat bermukim di tempat yang ditujuinya. Namun, ulama berselisih pendapat dalam menentukan jarak yang membolehkan seseorang itu untuk solat musafir (solat qasar dan solat jama’).

2.0 MAKSUD DAN PENSYARIATAN QASAR

Sembahyang qasar bererti memendekkan sembahyang yang empat rakaat menjadi dua rakaat ketika dalam perjalanan (safar). Sembahyang yang boleh diqasarkan adalah sembahyang Zuhur, Asar dan Isyak. Hukum Qasar adalah harus berdasarkan al-Quran, hadith dan ijama’. Bukti dari al-Quran ialah firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 101:

                  •      

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.”

Harus mengqasarkan sembahyang sama ada ketika takut atau ketika aman. Adapun perkaitan antara qasar dengan keadaan takut, di dalam ayat itu, hanya untuk menjelaskan keadaan yang berlaku kerana  kebanyakan perjalanan musafir Nabi s.a.w. diselubungi ketakutan.  Ya’la bin Umayyah pernah berkata kepada Umar al-Khattab, “Kenapa kita perlu memendekkan (qasar) sembahyang sedangkan kita berada dalam keadaan aman?” Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada kepada Nabi s.a.w dan Baginda bersabda, sembahyang qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah sedekahkan kepadamu, maka terimalah sekian kamu dengan sedekahNya. Bukti daripada Sunah menurut riwayat mutawatir, Rasulullah s.a.w telah memendekkan sembahyang ketika dalam perjalanan untuk mengerjakan fardu haji, umrah dan peperangan. Ibn Umar meriwayatkan, “Aku telah bersama-sama Nabi s.a.w., Baginda bersembahyang ketika musafir tidak lebih daripada dua rakaat. Abu Bakar, Umar dan Uthman juga melakukan demikian.”

Ulama berpendapat (ijma’) mengatakan bahawa sesiapa yang melakukan satu musafir serupa dengan musafir dibenarkan qasar sembahyang, maka diharuskan melakukan qasar sembahyangnya, sama ada musafir yang wajib seperti musafir untuk menunaikan fardu haji, peperangan, berhijrah, umrah ataupun musafir disunatkan seperti musafir untuk menziarahi saudara- mara, orang sakit dan menziarahi salah satu daripada dua masjid iaitu Masjid Madinah dan Masjid al-Aqsa, menziarahi kedua-dua ibu bapa atau salah seorang daripada mereka, ataupun ziarah yang diharuskan seperti  musafir untuk bersiar-siar, berniaga, atau musafir kerana paksaan seperti tawanan perang atau pesalah zina iaitu pesalah zina yang bukan Mukhsan yang dibuang negeri selama setahun selepas dihukum sebat atau musafir yang makruh seperti musafir keseorangan.

Qasar ialah memendekkan sembahyang empat rakaat kepada dua rakaat. Sembahyang yang boleh diqasarkan menurut ijma’ ialah solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isyak. Tidak termasuk Maghrib dan Subuh, maka tinggal hanya satu rakaat sedangkan tiada sebarang fardu seperti itu. Kalau diqasarkan Maghrib yang mana ia adalah witir siang hari nescaya terbatallah sifat witirnya. Ahmad meriwayatkan daripada Aisyah r.a, “Pada awal Islam difardukan solat dua rakaat kecuali Maghrib yang mana ia witir untuk siang hari, kemudian ditambahkan bilangan rakaat pada masa biasa (bukan pada ketika musafir), dan dikekalkan ketika musafir sebagaimana yang telah ditetapkan pada awal Islam iaitu dua rakaat.”

Ali bin Asim meriwayatkan daripada Aisyah sebuah hadis yang mengandungi pengecualian solat Maghrib, Subuh dan Jumaat daripada keharusan berqasar. Hukum yang berkaitan musafir ialah qasar, jama’, menyapu ke atas khuf selama tiga hari, dan keharusan berbuka puasa pada bulan Ramadhan. Keempat-empat perkara tersebut adalah khusus bagi musafir yang jauh. Pengharaman ke atas orang perempuan musafir tanpa muhrim, pengguguran sembahyang fardu Jumaat dan sembahyang kedua-dua hari raya serta berkorban, keharusan memakan bangkai ketika darurat, sembahyang di atas kenderaan, tayamum tidak dituntut mengulangi sembahyang fardu dengan sebab bertayamum. Perkara ini adalah berkaitan dengan musafir dekat, tetapi memakan bangkai dan tayamum bukan hanya dikhususkan bagi musafir sahaja.

2.1 Pandangan Ulama Terhadap Hukum Qasar.

Apakah musafir diwajibkan syarak untuk melakukan qasar sembahyang, atau apakah dia diberi pilihan sama ada melakukan qasar sembahyang atau melakukan sembahyang yang sempurna, dan yang manakah yang lebih afdal antara qasar solat atau melakukan solat yang sempurna?. Berkaitan dengan persoalan itu, pendapat yang muktamad daripada fuqaha’ terbahagi kepada tiga. Satu pendapat mengatakan ia fardu, satu pendapat mengatakan ia sunat dan pendapat lain mengatakan ia rukhsah yang diberi pilihan sama ada melakukan qasar atau melakukan sembahyang yang sempurna.

2.1.1 Ulama Hanafi.

Hukum Qasar adalah wajib (azimah) iaitu hukum asal, maka difardukan sembahyang yang empat rakaat ke atas orang yang musafir melakukan dua rakaat sahaja, tidak boleh ditambah dengan sengaja, dan wajib dilakukan sujud sahwi apabila terlupa. Oleh itu jika disempurnakan sembahyang empat rakaat dan duduk pada rakaat kedua sekadar tasyahud, maka dikira dua rakaat pertama sebagai fardu dan dua rakaat akhir sebagai sunat. Manakala orang itu dianggap sebagai melakukan kesalahan kerana memanjangkan solat itu. Jika tidak duduk pada rakaat kedua sekadar tasyahud, maka solat itu dikira sebagai batal kerana mencampuradukkan sunat dengan fardu sedangkan yang fardu belum lagi di sempurnakan. Pendapat ini adalah berdasarkan hadith, di antaranya yang dinyatakan oleh Aisyah, “Difardukan sembahyang dua rakaat, dua rakaat, maka dikekalkan dua rakaat dalam sembahyang ketika musafir, dan ditambahkan dua rakaat lagi ketika tidak musafir.”

2.1.2 Ulama Maliki.

Menurut pendapat ulama Maliki yang masyhur dan rajih, hukum qasar adalah sunat muakkad berdasarkan apa yang telah dilakukan oleh Nabi s.a.w., sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar dan perawi-perawi lain sebelum ini. Ini kerana tidak benar apa yang diriwayatkan bahawa di dalam musafir-musafirnya. Baginda hanya menyempurnakan sembahyang (dengan bilangan empat rakaat).

2.1.3 Ulama Syafie dan Hanbali.

Menurut pendapat ulama  Syafie dan Hanbali, hukum qasar adalah satu rukhsah yang diberi pilihan, maka bagi orang musafir boleh memilih sama ada hendak dilakukan sembahyangnya dengan sempurna rakaat atau melakukan qasar. Tetapi menurut ulama Hanbali melakukan qasar lebih diutamakan kerana Nabi s.a.w. sentiasa melakukannya dan begitu juga Khulafa’ al-Rasyidin.

Menurut pendapat ulama Syafie yang masyhur, qasar lebih afdal jika seseorang yang musafir itu tidak menyukai qasar (tujuannya ialah untuk melawan perasaan seseorang), ataupun apabila mencukupi 3 marhalah yang bersamaan dengan 96 kilometer, menurut pendapat ulama Hanafi sebagai mengikut Sunah dan mengelakkan daripada perselisihan dengan pendapat orang yang mewajibkannya seperti Abu Hanifah.  Sebaliknya pula berpuasa sewaktu musafir adalah lebih afdal daripada berbuka puasa jika tidak mudarat berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 184.
 •                                    

Maksudnya; “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari Yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”

Pendapat tersebut berdasarkan:

1. Ayat yang telah disebutkan sebelum ini dalam surah al-Nisa’ ayat 101,

                  •      

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.”

Ayat tersebut menunjukkan bahawa qasar merupakan satu rukhsah yang diberi pilihan sama ada melakukannya atau meninggalkan sebagaimana rukhsah lain.

2. Hadis yang diriwayatkan oleh Umar r.a. yang telah disebutkan sebelum ini, “Sedekah yang telah Tuhan sedekahkan kepadamu, maka terimalah akan sedekah-Nya” dan sabda Nabi s.a.w., “Sesungguhnya Allah suka jika dilakukan dengan rukhsah-rukhsah-Nya sebagaimana Dia suka jika dilakukan azimah-azimah-Nya”.

3. Terdapat di dalam Sahih Muslim dan kitab hadith lain yang menyatakan bahawa para sahabat apabila mereka bermusafir bersama Rasulullah s.a.w., setengah daripada mereka melakukan solat qasar, setengahnya pula melakukan solat dengan sempurna, setengahnya pula berpuasa dan setengahnya pula berbuka puasa dan mereka tidak pula mencela antara mereka.

4. Aisyah berkata, “Aku keluar bersama-sama Rasulullah s.a.w kerana mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan, Baginda berbuka dan aku berpuasa, Baginda melakukan sembahyang qasar dan aku melakukan sembahyang dengan sempurna, lalu aku berkata, “Demi bapaku dan ibuku, engkau berbuka dan aku berpuasa, engkau melakukan sembahyang qasar dan aku melakukan solat dengan sempurna, lalu Baginda bersabda, “Bagus wahai Aisyah”. Daripada empat dalil tersebut jelaslah bahawa qasar adalah rukhsah dan itulah yang rajih yang segera difahami.

2.2  Sebab Qasar dan Pandangan Ulama (Jarak) Qasar

Hikmat qasar adalah untuk mengelakkan daripada kesulitan  dan kesusahan yang biasa dialami oleh musafir serta memudahkannya untuk menunaikan hak Allah, mendorong kepada menunaikan fardu-fardu, dan supaya tidak lari daripada menunaikan kewajipan. Dengan keringanan hukuman tersebut, maka orang yang cuai tidak mempunyai alasan atau dalihan lagi untuk menunaikan fardu sembahyang.

Sebab yang membenarkan qasar ialah musafir yang jauh yang diharuskan menurut pendapat jumhur ulama kecuali ulama Hanafi. Perbincangan mengenai musafir yang diharuskan qasar sembahyang yang berubah hukum-hukum syarak, memerlukan kepada kajian empat perkara iaitu jarak jauh musafir yang dibenarkan qasar, jenis musafir yang boleh diqasarkan sembahyang sama ada musafir yang diharuskan sahaja atau semua jenis musafir, tempat permulaan orang musafir melakukan qasar, dan jangka masa yang dibenarkan qasar sembahyang apabila seorang musafir itu bermukim pada sesuatu tempat.

Para fuqaha’ berselisih pendapat dalam menetapkan jarak jauh musafir yang boleh diqasarkan sembahyang. Ulama Hanafi mengatakan bahawa sekurang-kurang jarak perjalanan yang boleh diqasarkan sembahyang ialah sejauh perjalanan yang mengambil masa tiga hari dan tiga malam daripada sependek-pendek hari dalam setahun di negeri yang sederhana. Perjalanan itu sama ada perjalanan unta atau berjalan kaki, dan tidak disyaratkan berjalan sepanjang siang dan malam tetapi hanya berjalan pada tiap-tiap hari mulai pagi hingga al-Zawal (apabila matahari melintasi garis tengah langit).

Yang dikira ialah perjalanan yang sederhana termasuk rehat biasa. Jika berjalan dengan laju yang dapat menghabiskan jarak tersebut dalam tempoh yang lebih singkat sebagaimana kenderaan moden masa kini, maka boleh diqasarkan juga sembahyang. Apabila seseorang itu menuju ke suatu tempat yang jaraknya mengambil masa tiga hari, maka boleh dilakukan qasar sembahyang, tetapi jika ia tidak menuju ke mana-mana tempat tertentu dan mengelilingi dunia tanpa tujuan dengan mengambil masa tiga hari maka ia tidak diberi rukhsah untuk melakukan qasar.

Kiraan jauh perjalanan dengan tiga marhalah adalah hampir sama dengan kiraan jauh perjalanan dengan tiga hari,  kerana pada kebiasaannya perjalanan pada satu hari. Ini adalah sejauh satu marhalah, terutamanya pada hari yang paling pendek dalam setahun, maka tidak sah melakukan qasar sembahyang jika perjalanan kurang daripada jarak tersebut (tiga marhalah). Begitu juga tidak boleh dikirakan dengan ukuran farsakh menurut pendapat ulama Hanafi yang muktamad lagi sahih. Pendapat mereka itu berdasarkan kepada qiyas pada tempoh yang dibenarkan menyapu khuf menurut hadith yang bermaksud “Orang yang bermukim menyapu di atas khuf satu hari satu malam genap, dan orang musafir tiga hari tiga malam.”

Kiraan perjalanan melalui lautan dan bukit-bakau adalah mengikut yang sesuai dengannya. Di lautan dikira jarak pelayaran ketika angin sederhana, bukan tenang dan bukan kuat. Sementara perjalanan melalui bukit bukau ialah kiraan jauh perjalanan tiga hari dan tiga malam mengikut kebiasaannya sekalipun jika jarak perjalanan tersebut di tanah rata yang mengambil masa lebih singkat daripada tempoh itu (kurang daripada tiga hari tiga malam). Jumlah tiga hari mengikut kiraan jam adalah berbeza menurut negeri di Mesir dan negeri yang sama garisan lintang dengannya ialah 20 jam 15 minit, manakala pada suatu hari ialah 6 jam 45 minit. Jumlah tiga hari di Syam ialah lebih kurang 19 jam 40 minit pada satu hari ialah 6 jam 39 minit dan 58 setengah saat.

Menurut pendapat Jumhur selain daripada ulama Hanafi, musafir yang jauh dibenarkan qasar sembahyang, mengikut kiraan masa ialah dua hari yang sederhana panjang atau dua marhalah dengan perjalanan yang berat dan berjalan kaki, iaitu mengikut kebiasaan perjalanan unta yang membawa barang yang termasuk berjalan semula, letak barang, kemudian berjalan, makan dan minum serta sembahyang iaitu sebagaimana jarak antara Jeddah dengan Mekah atau Taif dengan Mekah atau dari Usfan ke Mekah. Sementara mengikut kiraan perjalanan ialah empat burudin atau 16 farsakh atau 48 batu hashimi, satu batu ialah 6000 hasta sebagaimana yang dinyatakn ulama Syafie dan ulama Hanbali.

Menurut pendapat ulama Maliki yang sahih satu batu ialah 3500 hasta bersamaan dengan 89 kilometer lebih kurang, atau secara terperinci lagi ialah 88704 kilometer. Apabila seseorang itu berjalan sejauh jarak tersebut maka dia boleh melakukan qasar sekalipun hanya dengan mengambil masa selama satu jam sahaja seperti menaiki kapal terbang, kereta atau seumpamanya kerana ia benar-benar telah berjalan sejauh empat burudin.  Jarak perjalanan, melalui lautan adalah sama sebagaimana jarak perjalanan darat. Pendapat mereka itu adalah berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud “Wahai penduduk Mekah, jangan kamu melakukan qasar bagi perjalanan yang kurang daripada empat burudin, dari Mekah ke Usfahan.”

Diriwayatkan daripada Ibn Umar dan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa mereka berdua melakukan sembahyang dua rakaat (qasar solat) dan berbuka puasa apabila berjalan sejauh empat burudin atau lebih kerana perjalanan yang jarak sejauh tersebut menghadapi banyak kesulitan berhenti dan berjalan, sebaliknya jika kurang daripada jarak tersebut kurang kesulitannya.

Menurut ulama Syafie ukuran jarak jauh tersebut adalah tetap, oleh itu tidak boleh qasar jika kurang daripada jarak tersebut sekalipun sedikit sahaja. Manakala menurut ulama Hanbali dan Maliki ukuran jarak jauh tersebut hanya anggaran lebih kurang, tidak semestinya tepat. Oleh itu menurut ulama Hanbali tidak mengapa jika tidak cukup sedikit daripada jarak tersebut seperti kurang satu batu atau dua batu, dan menurut ulama Maliki tidak mengapa jika kurang 8 batu daripada jarak tersebut.

Bertentangan dengan pendapat jumhur, ulama Maliki mengecualikan penduduk Mekah, Mina, Muzdalifah dan al-Muhassab daripada ukuran jarak jauh tersebut apabila mereka pergi ke Arafah untuk melakukan wukuf bagi ibadah fardu haji. Ini sebagai mengikut Sunah Nabi s.a.w. yang menggalakkan mereka melakukan qasar sembahyang semasa pergi dan balik apabila terdapat amalan-amalan haji yang wajib dilakukan di luar kawasan tempat tinggal mereka.  Tetapi apabila sampai ke kawasan rempat tinggal, mereka hendaklah menyempurnakan rakaat sembahyang (tidak lagi melakukan qasar sembahyang).

Ibn Qudamah mengkritik bukti-bukti pendapat jumhur dengan mengatakan bahawa riwayat Ibn Abbas dan Ibn Umar bercanggah dengan pendapat jumhur ulama, dan pendapat jumhur bercanggah dengan makna lahiriah bagi nas al-Quran mengharuskan qasar bagi semua orang musafir di muka bumi ini tanpa menetapkan ukuran jarak jauh perjalanan dan pendapat jumhur ulama juga bercanggah dengan nas hadith Nabi s.a.w sebagaimana riwayat Anas maksudnya, “ Sesungguhnya Baginda s.a.w. apabila berjalan sejauh tiga batu atau tiga farsakh, Baginda melakukan sembahyang dua rakaat (qasar sembahyang).” Pada akhir kritiknya, Ibn Qudamah berkata, “Kekuatan hujah adalah berpihak kepada pendapat yang mengharuskan  qasar bagi semua musafir, kecuali jika berlaku ijma’ yang bercanggah dengannya.”

2.3 Tempoh Perjalanan Yang Membenarkan Sembahyang di Qasarkan

Ulama’ berbeza pendapat tentang status musafir bagi seorang yang dalam perjalanannya singgah di sebuah daerah untuk beberapa hari. Adakah orang tersebut masih diperbolehkan mengqasarkan sembahyangnya atau tidak? Ada yang menyatakan jumlah hari yang tertentu seperti tiga hari, empat hari, sepuluh hari atau lapan belas hari dan ada pula yang beranggapan apabila seseorang itu bermusafir maka dia tetap dibolehkan mengqasarkan sembahyang sehinggalah dia kembali ke tempat asalnya. Di Malaysia rata-ratanya berpendapat apabila seorang musafir singgah di suatu tempat maka dia hanya boleh mengqasarkan sembahyang selama 3 hari sahaja dan untuk hari yang keempat dan seterusnya hendaklah dia menyempurnakan sembahyangnya.

Namun begitu pendapat bahawa tidak ada batasan tempoh tertentu adalah lebih menghampiri kebenaran disebabkan keumuman mensyariatkan sembahyang qasar. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Nisaa’ ayat 101 bermaksud  “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang...” . Nabi Muhammad s.a.w. juga tidak membatasi jumlah hari yang tertentu yang dibenarkan mengqasar sembahyang. Malah kewujudan hadis-hadis dengan jumlah hari yang berbeza menunjukkan tidak ada batasan jumlah hari yang tertentu dalam hal ini. Perbezaan jumlah hari tersebut hanyalah menunjukkan keragaman corak musafir Rasulullah s.a.w.. Ini berdasarkan hadith-hadith berikut.

Pertamanya, dari Jabir bin Abdillah, dia berkata: “Rasulullah s.a.w. bermukim di Tabuk selama dua puluh hari (dan baginda) mengqasarkan sembahyang.” . Keduanya ialah hadith diriwayatkan dari Imran bin Hushain, dia berkata: “Aku berperang bersama Rasulullah s.a.w. pada saat penaklukan kota Mekah, maka baginda bermukim di Mekah selama lapan belas malam dan tidak sembahyang kecuali sebanyak dua rakaat (qasar).” Ketiganya ialah Yahya bin Abi Ishak berkata: “Saya mendengar Anas bin Malik berkata: “Kami pernah musafir bersama Rasulullah s.a.w. dari Madinah ke Mekah. Selama dalam musafir itu baginda melakukan sembahyang secara dua rakaat (qasar kecuali Maghrib) sehingga kembali ke Madinah. Saya bertanya: “Berapa lamakah anda berada di kota Makkah?” Anas menjawab: “Kami menginap di Kota Makkah selama sepuluh hari.”

Jelas dalam hadis-hadis di atas Rasulullah s.a.w. tidak membatasi tempoh hari bagi mengqasarkan sembahyang. Malah Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah telah membawa beberapa atsar dari para sahabat yang menunjukkan mereka tetap mengqasarkan sembahyang walaupun mereka singgah di satu daerah dalam jangka masa yang lama. Miswar bin Makhramah berkata: “Kami bermukim dengan Sa’ad di salah satu desa di wilayah Syam selama empat puluh hari. Selama itu Sa’ad tetap mengqasarkan tetapi kami mencukupkan.” Berkata Nafi’: “Abdullah bin ‘Umar bermukim di Azerbaijan enam bulan dan tetap bersembahyang dua rakaat ketika tertahan oleh salji waktu memasukinya.” Hafash bin Ubaidullah mengatakan bahawa Anas bin Malik bermukim di Syam dua tahun dan terus bersembahyang sebagai musafir.

Menurut Anas, para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bermukim di Ramhurmuz selama tujuh bulan dan tetap mengqasarkan sembahyang, sedang menurut Hassan, dia bermukim dengan ‘Abd al-Rahman bin Samurah di Kabul selama dua tahun dan ‘Abd al-Rahman terus mengqasarkan tapi tidak menjamak. Kemudian Ibrahim mengatakan pula bahawa para sahabat pernah bermukim di Rayy selama setahun atau lebih, dan di Sijistan selama dua tahun (dan mereka tetap mengqasarkan sembahyang.)  Demikianlah amalan para sahabat r.a. Mereka inilah manusia yang paling hampir dengan Rasulullah s.a.w. malah merekalah golongan yang paling tahu tentang ajaran-ajaran baginda. Mereka inilah (iaitu golongan Muhajirin dan Ansar) juga yang telah dipuji oleh Allah 'Azza wa Jalla sebagaimana firman-Nya:

Maksudnya; “Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar”.

Seterusnya ulasan Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkaitan dengan tempoh perjalanan yang dibolehkan mengqasarkan sembahyang: Seorang musafir itu boleh terus mengqasar sembahyangnya selama dia masih dalam musafir. Jika dia bermukim di suatu tempat kerana sesuatu keperluan yang hendak diselesaikannya maka dia tetap boleh mengqasarkan sembahyangnya sebab dia masih dianggap sebagai musafir walaupun bermukimnya di sana sampai bertahun-tahun lamanya.

Adapun jika bermukim di sana dalam waktu yang tertentu (yang telah diketahui pada awal musafirnya) maka menurut pendapat yang terkuat yang dipilih oleh Imam Ibnu Qayyim rahimahullah, bermukimnya itu belum lagi menghilangkan hukum musafir, baik lama atau sebentar, selama dia tidak berniat hendak menjadi penduduk tetap di tempat itu.   Setelah membawa pelbagai pendapat yang membatasi jumlah hari tertentu yang dibolehkan mengqasarkan sembahyang, Imam Muhammad bin Ismail al-Shon’ani rahimahullah telah menulis:

“Sudah jelas tidak ada dalil yang menunjukkan Nabi s.a.w tidak mengqasarkan sembahyang selama masa safar telah melebihi dari waktu-waktu yang disebutkan di atas. Apabila tidak ada dalil yang menunjukkan penentuan batas waktu, maka pendapat yang lebih mendekati kebenaran ialah boleh sentiasa mengqasarkan sembahyang selama dalam perjalanan itu sebagaimana yang pernah dipraktikkan oleh para sahabat kerana memang tidak dinamai mukim dalam keadaan ragu-ragu setiap hari dan juga tidak dinamai mukim bagi orang yang singgah di satu tempat meskipun lama”.

3.0 Maksud dan Pensyariatan Jama’

Sembahyang jamak bermakna mengumpulkan dua sembahyang dalam satu waktu. Contohnya mengumpulkan sembahyang Zuhur dan Asar dalam satu waktu ataupun Maghrib dan Isyak dalam satu waktu. Jamak pula ada dua jenis iaitu pertamanya adalah  Jamak Taqdim (yang didahulukan) iaitu mengumpulkan sembahyang Asar bersama Zuhur dalam waktu sembahyang Zuhur atau mengumpulkan sembahyang Isyak dan Maghrib dalam waktu sembahyang Maghrib. Keduanya ialah Jamak Ta’khir (yang diakhirkan) pula ialah mengumpulkan sembahyang Zuhur dan Asar dalam waktu sembahyang Asar atau mengumpulkan sembahyang Maghrib dan Isyak dalam waktu sembahyang Isyak. Dalil disyariatkan jamak taqdim dan jamak ta’khir adalah sebagaimana dijelaskan oleh Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anhu:

“Inginkah tuan-tuan saya ceritakan perihal sembahyang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sewaktu sedang dalam perjalanan.” Ujar kami: “Baik.” Katanya: “Jika baginda masih berada di rumah semasa matahari telah tergelincir (masuknya waktu Zuhur), baginda jamakkan Zuhur dengan Asar (jamak taqdim) sebelum berangkat, tapi kalau belum lagi tergelincir, maka baginda berjalan hingga nanti bila waktu Asar masuk baginda pun berhenti dan menjamak sembahyang Zuhur dengan Asar (jamak ta’khir). Begitu juga jika selagi baginda di rumah waktu Maghrib sudah masuk, baginda jamaklah sembahyang Maghrib dengan Isyak, tetapi kalau waktu belum lagi masuk, baginda terus sahaja berangkat dan nanti bila waktu Isyak tiba, baginda pun berhenti untuk menjamak sembahyang Maghrib dan Isyak itu.”

Dari hadis di atas dapat kita fahami sekiranya kita memulakan perjalanan setelah masuknya waktu Zuhur maka adalah di sunnahkan kita melakukan sembahyang jamak taqdim yakni menghimpunkan sembahyang Zuhur dan Asar dalam waktu sembahyang Zuhur. Namun begitu sembahyang tersebut tidak di qasarkan kerana kita secara hakikatnya belum memulakan perjalanan. Menurut Syaikh Salih bin Fauzan:

“Jika anda sembahyang Asar dan Zuhur dengan jamak taqdim sedangkan waktu itu anda masih berada di rumah, maka anda harus menunaikan sembahyang tersebut dengan sempurna (tidak menqasarkan), iaitu empat rakaat baik untuk sembahyang Zuhur mahupun Asar”.

Namun sekiranya kita memulakan perjalanan sebelum masuk waktu Zuhur maka hendaklah kita melakukan jamak takhir yakni menghimpunkan sembahyang Zuhur dan Asar dalam waktu Asar. Maka ketika ini diperbolehkan untuk mengqasarkan sembahyang tersebut kerana ketika itu kita sedang berada dalam perjalanan. Hadis di atas juga menerangkan tatacara menjamak sembahyang Maghrib dan Isyak. Seperkara yang perlu untuk diberi perhatian adalah tidak ada jamak antara sembahyang Subuh dan Zuhur, Asar dan Maghrib atau Isyak dan Subuh. Walau bagaimanapun di atas bukanlah syarat menjamakkan solat tetapi sunnah yang utama untuk diikuti. Antara jamak taqdim atau jamak takhir, terpulang bagi seseorang mana yang sesuai lagi mudah baginya. Ingat, jamak adalah satu kemudahan, bukan kesukaran.

Dalil yang mensyariatkan jama’ taqdim iaitu hadis Sahih daripada Mu’az bin Jabal yang bermaksud, “Bahawa Nabi s.a.w ketika peperangan Tabuk, apabila Baginda berjalan selepas Maghrib disegerakan sembahyang Isyak, maka dilakukan sembahyang Isyak dengan Maghrib”. Menurut pendapat ulama Hanafi, tidak diharuskan Jamak kecuali pada hari Arafah bagi orang yang berihram haji, iaitu dengan menjamakkan sembahyang Zuhur dengan Asar di dalam waktu Zuhur dengan satu azan dan dua iqamah, kerana sembahyang Asar dilakukan sebelum masuk waktunya maka hendaklah diasingkan dengan iqamah yang lain sebagai memaklumkan kepada orang ramai.

Tidak diharuskan jamak takhir kecuali pada malam Muzdalifah iaitu dengan menjamakkan sembahyang Maghrib dengan Isyak dengan satu azan, satu iqamah kerana Isyak dilakukan dalam waktunya maka tidak perlu dimaklumkan. Mereka menghujahkan waktu-waktu solat telah sabit secara mutawatir (hadith Mutawatir), maka tidak boleh ditinggalkannya dengan hadith Ahad. Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadith Ibn Mas’ud bermaksud, “ Demi tiada Tuhan yang melainkanNya, Rasulullah s.a.w tidak menunaikan sembahyang kecuali di dalam waktunya, melainkan dua sembahyang sahaja iaitu jamak di antara Zuhur dengan Asar di Arafah dan di antara Maghrib dan Isyak di Muzdalifah”. Sebenarnya harus melakukan jamak kerana sabit dengan sunah dan sunah adalah sumber syariat sebagaimana al-Quran.

3.1 Syarat-syarat Jamak

Pertamanya ialah bermusafir, seperti yang telah disebutkan oleh hadis dari Ibn Abbas:

صلى رسول الله صلى الله عليه وسلم الظهر والعصر جميعا. والمغرب والعشاء جميعا. في غير خوف ولا سفر
Maksudnya: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak di Madinah bukan kerana ketakutan atau bermusafir.

Hadis di atas menunjukkan Rasulullah s.a.w pernah menjamakkan solat kerana ketakutan, musafir, juga atas sebab lain selain daripada sebab yang disebutkan.
Keduanya ialah dalam suasana yang sukar atau sulit. Apabila menghadapi kesukaran melaksanakan solat pada waktunya, hukum asal solat fardhu yang telah sedia ditetapkan pada waktu yang tertentu boleh berubah kepada menghimpunkan dua solat ke dalam satu waktu. Ini bertujuan membebaskan umat Islam daripada kesulitan yang ditempuhi. Kesukaran ini termasuklah sakit, menaiki bas yang tidak berhenti ketika kembali ke tempat asal sehingga luput waktu dan sebagainya.
Ketiganya ialah melakukan jamak kerana hajat yang benar–benar mendesak iaitu
contohnya keadaan memerlukan solat dijamak kerana hajat adalah apabila berdepan dengan keadaan yang memaksa untuk tidak dapat melakukan solat pada waktunya seperti doktor yang perlu melakukan pembedahan berjam-jam lamanya, seandainya beliau berhenti walaupun sebentar akan memudaratkan pesakitnya. Pelajar di luar negara yang menduduki peperiksaan atau terpaksa menghadiri kelas yang meliputi waktu solat yang pendek. Pegawai-pegawai keselamatan yang terpaksa mengawal sesuatu tempat dan keadaan tidak mengizinkan beliau meninggalkan kawasan jagaannya kerana kritikalnya suasana tersebut dan pelbagai lagi situasi seumpamanya. Dalilnya adalah:

عن عبدالله بن شقيق، قال: خطبنا ابن عباس يوما بعد العصر حتى غربت الشمس وبدت النجوم. وجعل الناس يقولون: الصلاة. الصلاة. قال فجاءه رجل من بني تميم، لا يفتر ولا ينثني: الصلاة. الصلاة. فقال ابن عباس: أتعلمني بالسنة؟ لا أم لك! ثم قال: رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم جمع بين الظهر والعصر، والمغرب والعشاء.قال عبدالله بن شقيق: فحاك في صدري من ذلك شيء. فأتيت أبا هريرة، فسألته، فصدق مقالته.

Maksudnya : Abdullah bin Syaqiq berkata: Pada suatu hari Ibnu Abbas berpidato (memberikan kuliah/syarahan) kepada kami di Basrah selepas Asar sehingga terbenam matahari dan terbit bintang-bintang. Ini menyebabkan manusia yang hadir berkata: Solat, solat. katanya lagi: Lalu datang seorang lelaki dari Bani Tamim memperingatkan: Solat, solat. Lalu Ibnu Abbas berkata: Apakah engkau mengajar kepadaku sunnah? Sungguh tidak berguna kamu! Kemudian berkata: Aku melihat Rasulullah s.a.w. menjamakkan sembahyang antara Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak. Abdullah bin Syaqiq berkata: Penjelasan Ibnu Abbas itu tidak memuaskan hatiku. Kemudian aku pergi kepada Abu Hurairah, dan bertanyakan hal tersebut, maka dia membenarkan perkataan Ibnu Abbas.


Riwayat di atas menjelaskan bahawa Ibnu Abbas menjamakkan sembahyang dalam keadaan bukan kerana bermusafir, bukan kerana ketakutan dan juga bukan kerana hujan. Di dalam kes ini dia telah menjamakkan solatnya ketika berada dalam urusan penting, iaitu pidatonya/syarahan/kuliahnya itu. Dia mengetahui jika syarahannya itu dihentikan maka akan hilanglah kemaslahatannya. Menurut perkiraannya meneruskan syarahan dianggap suatu hajat yang membolehkan jamak.  Syaikh Athiyah Saqr rahimahullah berkata:

 “...Maka sekumpulan ulamak dari kalangan para imam telah bertindak mengambil zahir hadis Ibnu Abbas. Maka mereka mengharuskan mengerjakan jamak ketika hadar, iaitu tidak dalam musafir, hanya kerana hajat semata-mata. Tetapi dengan syarat ia tidak dijadikan sebagai adat (kebiasaan atau kelaziman ).

Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari mengatakan bahawa orang-orang yang berpendapat demikian ialah Ibnu Sirin, Rabi'ah, Ibnul Munzir dan al-Qaffal al-Kabir dan telah diriwayatkan oleh al-Khitabi dari satu jamaah dari kalangan ahli Hadis. Hujah mereka (mengharuskan perbuatan jamak kerana hajat itu) ialah untuk menafikan kepayahan selama di sana terdapat suatu hajat dan keperluan, antaranya ialah seperti kesibukan Ibnu Abbas terhadap pidato dan khutbahnya."

Dalam melaksanakan solat jamak kerana kesukaran atau hajat harus diambil perhatian bahawa, Pertamanya iaitu tidak dijadikan kebiasaan sehingga ianya dilakukan dalam keadaan tanpa ada sebab yang benar-benar mendesak kerana perintah asal bagi ibadah solat fardu ialah dalam waktunya yang sedia termaktub lima kali sehari. Keduanya adalah  hajat hendaklah benar-benar mendesak dan  tidak boleh dielakkan, jikalau ianya (hajat) ditinggalkan maka ianya akan membawa kepada hilangnya maslahat atau kebaikan yang lebih besar. Ketiganya ianya tidak dijadikan alat untuk mempermainkan agama dan alat untuk mereka yang malas mengerjakan solat untuk mengambil mudah di atas urusan agama.

Keempatnya iaitu Jamak kerana hujan Antara salah satu sebab Rasulullah s.a.w. menjamakkan solatnya di Madinah adalah kerana turunnya hujan lebat yang menjadi pegangan kuat mazhab Syafie. Hikmah yang boleh difikirkan adalah tindakan ini bertujuan supaya tidak menyusahkan umatnya untuk kembali semula ke masjid dalam suasana hujan yang pastinya menyebabkan para jemaah basah kuyup atau kotor kaki mereka kerana terpaksa meredahi becak dan lumpur akibat hujan tersebut. Disebutkan di dalam sebuah hadis daripada Ibn Abbas r.a:

جمع رسول الله صلى الله عليه وسلم بين الظهر والعصر، والمغرب والعشاء، بالمدينة. في غير خوف ولا مطر.

Maksudnya: Rasulullah s.a.w.  telah melakukan jamak solat antara zohor dan asar, dan antara maghrib dan isyak di Madinah tidak kerana ketakutan dan tidak kerana hujan .

Sekalipun hadis tersebut secara jelas menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah melakukan solat jamak selain disebabkan ketakutan atau hujan, secara mafhum (fahaman tersirat) ianya menunjukkan Rasulullah s.a.w. menjamakkan solat ketika hujan. Namun perlu diperhatikan syarat-syarat dan cara-caranya dilaksanakan.
Pertamanya, solat jamak kerana hujan hanya boleh dilakukan oleh jemaah yang bersolat di masjid sahaja. Bagi mereka yang bersolat di rumah ianya tidak dibenarkan. Keduanya, waktu yang dibenarkan untuk dijamakkan solat ialah pada waktu Zohor yang dijamakkan dengan waktu Asar, ataupun solat Maghrib yang dijamakkan dengan solat Isyak pada waktu Maghrib. Maknanya tiada “jamak takhir” dalam kes “jamak” kerana hujan. Ketiganya,  hujan yang turun samada di waktu Zohor atau Maghrib itu tidak berhenti sehingga jemaah selesai menunaikan solat Zohor ataupun Maghrib. Keempatnya, hujan yang menyebabkan solat boleh dijamakkan ialah hujan yang membasahkan baju dan bukannya hujan renyai-renyai.

Kelimanya, ada juga di kalangan ulama Syafi’iyah yang meletakkan syarat tambahan, iaitu jamak kerana hujan ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang tinggal jauh dari masjid sahaja, dan barangsiapa yang tinggal dekat dari masjid mereka tidak dibenarkan melakukan jamak. Pendapat ini disanggah oleh Imam Nawawi dari mazhab Syafie sendiri kerana menurutnya pendapat tersebut tiada asas yang kukuh dan tiada sandaran dalil yang kuat.

5.0 PENUTUP

Kesimpulannya, jamak dan qasar merupakan satu rukhsah yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada hambanya. Selain itu ia juga merupakan satu anugerah dan lambang bahawa Islam itu tidak pernah menyusahkan umatnya, sebaliknya Islam itu bersifat fleksibel dan begitu sesuai dengan peredaran zaman. Oleh itu, dalam menentukan kadar jarak musafir yang diharuskan qasar, terdapat beberapa pendapat ulama yang perlu diteliti. Perbezaan pandangan tentang jarak ini bukan menunjukkan satu perbalahan antara para ulama, tetapi sebaliknya ia adalah pendapat ulama berdasarkan kemantapan ilmu mereka melalui pemahaman yang sangat mendalam berdasarkan dalil al-Quran dan hadis.

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa tiada ketetapan jarak yang sama ditetapkan oleh para ulama, bahkan ada pendapat  yang menetapkan dalam lingkungan 79-83 kilometer sebagai jarak yang dibolehkan musafir. Namun begitu, keutamaan adalah perlu  melengkapi kepada syarat-syarat jama’ dan qasar selain jarak perjalanan sebagai perkara utama diharuskan solat jama’ dan qasar.
BIBLIOGRAFI

Al-Quranul Karim, Surah  Al-Baqarah,  Al-Nisaa’  dan Surah Al-Taubah.

Ensiklopedia Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i.

Fayiz Musa Abu Syaikhah, Fatwa-Fatwa Syaikh al-Fauzan, edisi terjemahan oleh Ali Murtadho Syahudi, Pustaka Azzam, Jakarta, 2004.

Wahbah al-Zuhaili, Fiqh Perundangan Islam, Jilid 2, Terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994.

Hadis riwayat Imam Abu Dawud dan dinilai dha‘if oleh al-Albani di dalam Dha‘if Sunan Abu Dawud, Kitab al-Shalah.

Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad, hadis no. 3480 dan dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth. Bagi Musnad Ahmad edisi 6 jilid, jld. 1.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Jamaah.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al- Manaqib.

Hadis Riwayat Imam al-Tirmidhi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmidhi, Kitab al-Iman.

Syaikh Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jld.1 dan 2.

2 comments:

  1. ustaz mohon alihkan kartun yg bersongkok dan berbju purple ...mengganggu tuk mmbaca,tme kasih ustaz..

    ReplyDelete
  2. ustaz tumpang tanya sebab kenapa islam mensyariatkan solat jamak dan qasar hanya boleh dilakukan pada waktu tertentu sahaja??

    ReplyDelete